Kerajaan Bantu Usahawan Guna Aplikasi Digital

ALOR SETAR: Kerajaan akan mempergiatkan usaha untuk membantu usahawan tempatan menggunakan aplikasi digital dalam perniagaan untuk meningkatkan pendapatan mereka, kata Timbalan Menteri Kewangan 1, Datuk Wira Othman Aziz, yang juga Ahli Parlimen Jerlun dan merangkap Naib Ketua UMNO Bahagian Jerlun.

Bahagian Parlimen beliau akan mengadakan program kesedaran awal penggunaan aplikasi digital bagi para usahawan terutama kepada golongan muda. Agensi-agensi kerajaan, termasuk program e-Usahawan dan e-Rezeki oleh Malaysia Digital Economy Corporation Sdn Bhd (MDEC) giat berusaha membantu usahawan muda untuk meningkatkan pendapatan mereka.

Beliau berkata pendedahan awal mengenai aplikasi digital perlu diberikan kepada usahawan, terutama golongan muda, agar dapat meluaskan jaringan perniagaan mereka menerusi platform media sosial supaya dapat menjana pendapatan yang tinggi setiap bulan. Setakat ini 70,000 usahawan sudah berdaftar untuk membabitkan diri dalam e-Usahawan dan daripada jumlah itu, 50,000 sudah berjaya dilatih oleh MDEC. Daripada jumlah itu, kira-kira 17,000 usahawan telah berjaya meningkatkan pendapatan hasil daripada latihan yang diterima.

Bank Negara Malaysia (BNM) dengan kerjasama MDEC telah menganjurkan bengkel dan ceramah e-Usahawan dan e-Rezeki pada karnival kewangan di Alor Setar pada 21 hingga 23 Januari 2018 lalu yang telah memberi manfaat kepada lebih 1,700 peserta.

Program kesedaran penggunaan aplikasi digital ini disasarkan kepada usahawan yang belum lagi menggunakan platform digital dalam perniagaan mereka, terutama yang berniaga secara kecil-kecilan. Program ini akan diperkenalkan kepada pelajar institusi pengajian tinggi untuk menggalakkan mereka menceburi bidang perniagaan.

Sumber: Astro Awani

http://www.astroawani.com/berita-malaysia/kerajaan-giat-bantu-usahawan-guna-aplikasi-digital-166273

Image credit: Freepik

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *