Tiada jalan pintas untuk meraih kejayaan terutamanya dalam bidang perniagaan. Inilah hakikat yang mesti diterima oleh para usahawan baru atau mereka yang berhasrat untuk menceburi bidang ini satu hari nanti.
Cubalah bertanya mana-mana usahawan tulen yang telah berjaya, mereka pasti menyatakan bahawa mereka mengambil masa bertahun-tahun lamanya sebelum dapat menikmati hasil titik peluh dalam erti yang sebenarnya.
Dalam masa setahun dua selepas membuka perniagaan dan apabila ianya berjalan dengan lancar, maka agak terlalu awal bagi kita untuk menggelarkannya sebagai usahawan berjaya atau terlalu cepat untuk mengaku bahawa perniagaan itu sudah maju.
Masih banyak rintangan dan cabaran yang menghalangi perjalanan perniagaan dan semuanya ini perlu di atasi secara praktikal dan bukan secara teori.
Seseorang usahawan perlu menghadapi cabaran dan dugaan walau bagaimana pahit sekalipun sebelum dapat meraih kejayaan perniagaan. Setiap kejayaan yang dikecapi bergantung kepada tahap usaha yang dikeluarkan.
Halangan-halangan inilah yang menguji kecekapan seorang usahawan dalam mengendalikan perniagaannya terutamanya dalam keadaan kritikal seperti kemelut ekonomi yang dialami pada akhir tahun 90-an lalu pada wakti itu, terdapat banyak syarikat yang kecundang termasuklah syarikat-syarikat gergasi dan syarikat-syarikat yang gah namanya.
Jika diperhatikan, hanya mereka yang berjaya dalam bidang-bidang seperti perniagaan, muzik, akademik, sukan dan lain-lain mempunyai satu persamaan dalam diri mereka iaitu etika bekerja. Bagi mereka memang tidak ada kompromi dalam hal ini. Ganjaran kejayaan hanya akan dinikmati apabila bekerja kuat menjadi sebahagian daripada gaya hidup mereka.
Inilah yang membezakan kenapa sesetengah syarikat boleh terus maju dan sesetengah syarikat lain pula terpaksa gulung tikar apabila berhadapan dengan situasi mencabar yang memerlukan penyelesaian yang positif.
Mereka dapat bertahan kerana mereka mempunyai sistem perniagaan yang kukuh, memiliki kemahiran teknikal dan kepimpinan untuk berada di tahap atas dalam mencapai kejayaan. Bagi setiap individu, kejayaan mempunyai makna yang berbeza.
Sesetengah orang menganggap bahawan kejayaan bermaksud wang ringgit atau kuasa. Ada juga menganggap ianya sebagai satu penghormatan dan satu kepuasan yang dinikmati selepas bekerja kuat. Walau apapun anggapan dan matlamat kejayaan kita, hakikat yang mesti diterima oleh semua terutamanya para usahawan ialah hasil yang bakal dikecapi mengambil masa yang lama dan ianya datang secara beransur-ansur.
Umpama sepasang suami isteri yang baru yang baru menimang cahaya mata, mereka perlu menunggu selama satu tahun untuk melihat anak itu berjalan, menunggu selama 7 tahun untuk melihat anak itu bersekolah dan sudah tentulah penantian itu lebih lama jika pasangan ini ingin melihat anaknya menjadi remaja dan berkahwin. Namun dalam hal ini, semua orang akur mereka perlu menanti sekian lama untuk mencapai hasrat yang mereka ingini.
Begitulah juga dalam dunia perniagaan. Tidak ada istilah ‘cepat kaya’ atau ‘jalan pintas’ bagi seorang usahawan. Mereka perlu menggunakan tulang empat kerat dan memerah otak untuk membina dan memantapkan lagi kedudukan perniagaan mereka.
Para pekerja, pembekal dan rakan perniagaan merupakan kumpulan sokongan, tetapi ‘master mind’ arah tuju perniagaan kita tertakluk kepada diri kita sendiri sebagai usahawan. Jika kita bijak, cekap dan rajin mengurus perniagaan, pasti kita akan berjaya.
Setiap perniagaan sama seperti satu permainan dan kita merupakan pemainnya. Kecekapan mengendali permainan ini merupakan faktor utama penentu kejayaan.
Untuk mengendali permainan ini kita memerlukan formula tertentu yang boleh diamalkan untuk membentuk disiplin dalam hidup, membina etika kerja, meningkatkan harga diri, memahami teknik menghadapi keadaan yang tidak diduga dan seterusnya berjaya mencapai sesuatu yang kita tidak pernah impikan. Formula ini boleh diperolehi daripada seseorang yang anda jadikannya sebagai mentor. Keperibadian kita sebagai seorang usahawan seperti sifat tidak putus asa dan tidak kalah pada tekanan dapat membantu melonjakkan perniagaan ke tahap yang tinggi. Dan jangan lupa, tawakal dan taqwa kepada Allah S.W.T akan memberi berkat kepada segala usaha yang kita lakukan.
Sesungguhnya segala usaha gigih yang di semai hari ini akan membuahkan hasil di kemudian hari kelak. Ianya seumpama kita menanam sepohon pokok, apabila ianya matang kita dapat memetik buahnya tanpa berusaha lagi.
Begitu juga dengan bidang perniagaan, dalam jangka masa panjang kita boleh merasa hasilnya dengan hanya bergoyang kaki. Apabila kita berjaya membina asas perniagaan yang kukuh, kita dapat menikmati hasil pendapatan syarikat yang telah kita bina sejak bertahun-tahun lamanya.
Sumber Arkib: Buletin Usahawan Nasional Bilangan 4