Penglibatan wanita dalam dunia keusahawanan bukanlah perkara asing lagi. Kerajaan serta pelbagai pihak termasuklah PUNB telah melaksanakan pelbagai inisiatif dalam usaha memartabatkan usahawan wanita selain membantu mereka menghadapi cabaran menguruskan perniagaan. Tetapi, benarkah wanita menghadapi cabaran yang lebih tinggi apabila menceburi bidang ini? Jom ikuti pengalaman 2 usahawan wanita dalam menempuh cabaran dunia perniagaan!
Nadhlia Nina binti Junus, Ainnor Marketing Sdn Bhd – Spa, Produk Kecantikan dan Penjagaan Ibu Selepas Bersalin EMBAH
“Kewujudan jenama EMBAH adalah hasil pemerhatian serta pengalaman saya dan rakan kongsi, Rosliza Rahman sepanjang menjalankan perkhidmatan spa kecantikan dan penjagaan ibu selepas bersalin. Kami akui kejayaan dan kegagalan merupakan lumrah dalam perniagaan.
Selain perkhidmatan spa dan penjagaan selepas bersalin, EMBAH turut menawarkan penjualan produk posnatum yang sejujurnya tidak terlepas daripada berhadapan dengan cabaran, lebih-lebih lagi apabila pelanggan inginkan produk yang dibeli, sampai dengan kadar segera. Menangani masalah ini, EMBAH mengambil inisiatif mewujudkan sebuah modul perniagaan yang diberi nama #embahheritage, iaitu mengadakan stokis, agen dan pesan hantar (dropship) di setiap daerah serta kawasan. Secara tidak langsung modul ini membantu memberi maklum balas segera kepada pelanggan di samping menaik taraf pendapatan isi rumah kepada mereka yang berminat menjadi ejen/stokis produk Embah.
EMBAH juga turut menghadapi cabaran dalam pemasaran dan persaingan semasa seperti persamaan produk jualan dan juga tawaran harga pesaing yang lebih rendah. Walau bagaimanapun, EMBAH percaya, dengan melalui proses teliti dalam menghasilkan kesemua produk yang dijamin berkualiti, mampu menarik dan mengekalkan kesetiaan pelanggan, sesuai dengan harga yang ditawarkan.
Dalam bidang perniagaan, kita harus sentiasa bersedia dengan apa jua kemungkinan. Apa yang penting adalah menerapkan sikap professionalisme yang tinggi untuk terus berdaya tahan dan berdaya saing dalam dunia perniagaan. Tambahan pula, persaingan dikalangan usahawan khususnya wanita amat sengit memandangkan bidang kecantikan dan kesihatan ini amat sinonim dengan naluri mereka. Ini menunjukkan suatu perkembangan yang baik sekaligus membuktikan bahawa wanita kini lebih agresif, bermotivasi dan mampu berdikari demi memajukan diri.”
Muzdalifah Mohamad Mustapha, Iffah DW Enterprise – Daging Hitam Palembang
“Walaupun baru setahun jagung menceburkan diri dalam bidang perniagaan, tidak dinafikan ia satu kejutan budaya buat saya. Namun, berkat sokongan dan tunjuk ajar suami untuk berhadapan dengan pelbagai situasi perniagaan, kini saya lebih cekap menghadapi setiap cabaran.
Daging Hitam Palembang juga tidak lari daripada berhadapan dengan cabaran dari segi pasaran dan persaingan semasa. Di Malaysia, bukan hanya kami yang menjual produk daging hitam. Apa yang membezakan produk kami dengan produk yang terdapat di pasaran selain daripada jenamanya adalah resepi rahsia daging hitam yang digunakan adalah mengikut citarasa asal dari daerah tersebut yang dijamin mampu menarik perhatian para pelanggan yang menikmatinya. Inilah keistimewaan Daging Hitam Palembang.
Saya sentiasa berusaha dalam menaik taraf jenama produk kami agar lebih dikenali dan menjadi pilihan orang ramai sekaligus mampu mengurangkan persaingan jualan daging hitam yang sedia ada di pasaran. Tidak dinafikan, ilmu dan kemahiran harus senantiasa ditingkatkan agar saya dapat menjadi seorang usahawan yang lebih baik. Sasaran Iffah DW Enterprise adalah supaya produk Daging Hitam Palembang ini dapat dipasarkan bukan sahaja di Malaysia malah juga seluruh dunia. Insha Allah.”