Berniaga Bajet Rendah, Untung Besar!

Dengan kos sara hidup pada masa kini yang kian meningkat terutama bagi mereka yang menetap di bandar besar, bukanlah sesuatu perkara yang baru jika ada individu yang melakukan dua hingga tiga pekerjaan sampingan pada satu masa seperti pemandu GrabCar dan menjalankan perniagaan dalam talian selain pekerjaan utama mereka di pejabat.

Di samping dapat menambah pendapatan bulanan, kesungguhan ini juga bertujuan menyahut saranan Kerajaan untuk mempunyai lebih daripada satu sumber pendapatan bagi meringankan bebanan kewangan.

Ramai mengharapkan keuntungan yang besar namun tidak ramai yang mampu mengeluarkan modal yang banyak bagi memulakan sesuatu perniagaan. Jadi, apakah antara jenis pekerjaan dan perniagaan yang memerlukan modal rendah namun masih memberikan pulangan yang lumayan? Mari kita lihat:

Pembeli-belah Peribadi

Anda gemar mencuci mata? Tidak penat menghabiskan masa berjam-jam di pusat beli-belah fizikal atau maya? Sudah tentu ini perniagaan yang terbaik untuk orang seperti anda. Pembeli-belah peribadi ialah seseorang yang akan menguruskan segalanya, daripada proses pembelian dan pembungkusan, hinggalah proses penghantaran barang.

Pelanggan hanya perlu memberikan pautan laman sesawang atau spesifikasi beserta gambar yang menjual barangan dikehendaki kepada anda dan tunggu barangan idaman mereka sampai ke pintu rumah dalam masa tiga atau empat hari (Andalah yang membantu mereka mendapatkan barangan tersebut!).

Perkhidmatan ini sangat diperlukan pada masa kini dek kesibukan warga kota bekerja dan menguruskan rumah tangga terutama golongan ibu yang bekerjaya. Sememangnya mereka kesempitan masa untuk keluar membeli-belah.

Masa lapang pula kebiasaannya diperuntukkan untuk dihabiskan di rumah bersama insan tersayang berbanding bersesak di pusat beli-belah atau mengharungi kesesakan lalu lintas, lebih-lebih lagi pada waktu cuti hujung minggu.

Nota: Profesion ini mempunyai golongan klien yang sangat spesifik. Oleh itu, anda perlu membuat kajian pasaran dengan teliti terlebih dahulu untuk menentukan kewujudan permintaan yang mampan.

Guru Peribadi

Sekiranya anda mempunyai minat, bakat dan kelayakan untuk mengajar, inilah perniagaan yang paling sesuai untuk anda. Selain dapat dijalankan pada waktu senggang (malam atau hujung minggu), kos yang diperlukan sangat minimum, yakni, hanya untuk pengangkutan dan keperluan alat tulis. Kos lain seperti buku latihan dan buku rujukan adalah di bawah tanggungan pelanggan.

Bayaran bagi seorang guru peribadi juga agak lumayan iaitu bermula daripada RM30 hingga RM200 sejam, namun harus diingat! Ia bergantung kepada pengalaman, subjek yang diajar, tempoh pembelajaran serta tahap pembelajaran (rendah, menengah atau universiti). Anda boleh mengenakan bayaran lebih jika boleh memberi jaminan anak didikan anda akan memperoleh keputusan yang cemerlang.

Jika anda kurang yakin untuk memulakan perniagaan ini, anda boleh menimba pengalaman sebagai guru tuisyen sementara di mana-mana pusat tuisyen berdekatan terlebih dahulu. Dengan cara ini, anda boleh membina keyakinan diri.

Ada guru peribadi yang dituduh ‘mencuri’ pelajar daripada pusat tuisyen selepas bekerja sementara sebagai guru tuisyen. Hah! Biar apa jua halnya, janganlah pula berbuat begitu. Nanti dilabel tidak beretika pula.

Penulis Kandungan Bebas

Penulisan kandungan secara bebas merupakan sebuah perkhidmatan yang mampu memberikan pulangan yang amat lumayan. Pendapatan daripada sebuah projek penulisan buku bebas boleh mencecah sehingga puluhan ribu ringgit sebulan.

Selain penulis buku, penulis bebas dan penulis siluman (ghost writer) juga diperlukan untuk pelbagai projek, seperti penulisan ucapan, makalah atau rencana, artikel majalah dan akhbar serta kandungan laman sesawang.

Dengan bantuan teknologi masa kini, proses untuk mendapatkan pelanggan serta bahan-bahan rujukan untuk penulisan sangat mudah. Apakah pula modal yang diperlukan untuk memulakan perniagaan ini? Anda cuma perlu mempunyai ilmu dalam bidang penulisan dan minat yang mendalam. Mudah, bukan?

Bidang ini juga amat sesuai bagi mereka yang mempunyai ilmu dan pengalaman dalam bidang-bidang teknikal seperti kewangan, kejuruteraan, penyelidikan sains dan agama. Jika anda dapat mencipta kelas tersendiri, nescaya masa depan anda sebagai penulis kandungan cerah.

Penterjemah

Berbeza dengan penulis kandungan bebas yang perlu melakukan proses penyelidikan untuk menghasilkan kandungan sendiri, penterjemah hanya perlu menterjemah kandungan sedia ada daripada bahasa tulisan asal ke bahasa lain yang diperlukan.

Penterjemah boleh dibayar mengikut jumlah perkataan teks asal atau secara pukal, mengikut bilangan muka surat. Bayaran yang diterima oleh seseorang yang menceburi bidang ini juga tidak kurang hebatnya.

Seorang penterjemah profesional mampu membeli sebuah kenderaan serba guna (MPV) secara tunai selepas menerima bayaran projek penterjemahan hanya untuk sebuah buku! Selain ilmu berkaitan terjemahan, bidang ini juga memerlukan daya fokus yang sangat tinggi serta penguasaan menyeluruh bahasa asal dan bahasa terjemahan sasaran.

Ejen Takaful

Anda berminat untuk bertemu dengan orang ramai, bermulut manis dan mahukan pendapatan yang tidak terhad? Perniagaan ini sangat sesuai untuk anda. Walaupun kebiasaannya seorang ejen takaful tiada gaji pokok dan hanya bergantung pada komisen, pulangan yang diterima sangat lumayan, namun harus diingat! Ia haruslah berdasarkan jumlah peratusan jualan anda.

Ramai yang memilih bidang ini sebagai sumber pendapatan sampingan dan ada yang menjadikannya sebagai sumber rezeki utama untuk menyara kehidupan sebagai ejen takaful. Selain memiliki kebebasan waktu bekerja, mereka juga bebas bercuti pada bila-bila masa yang diinginkan. Geram pula mendengarnya!

Kesimpulan

Selain daripada pekerjaan dan perniagaan yang disenaraikan di atas, anda juga boleh mempertimbangkan pilihan lain seperti pembuat kek (satu pilihan yang sangat popular) dan pereka bentuk grafik jika mempunyai kemahiran dan keyakinan.

Oleh itu, eloklah sekiranya anda mula meneroka minat anda sekarang. Adakah terdapat pekerjaan di atas yang menarik serta bersesuaian dengan anda? Tepuk dada, tanyalah selera. Tidak kiralah apa jua minat anda, ia boleh mendatangkan pendapatan sampingan yang lumayan. Dengan modal yang minimum, tidak mustahil untuk anda menjana pendapatan bulanan yang selesa.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *