Pemasaran Moden Tingkatkan Jenama Kek Lapis Tradisi Siti Payung

IANA CORPORATION SDN BHD – Rakan Usahawan PUNB

Setiap perniagaan pasti ada pasang surutnya bahkan cabaran dan halangan sudah menjadi sebati dalam mengharungi badai perniagaan. Jika tersalah langkah, akibatnya boleh menyebabkan kerugian yang akhirnya tersungkur di tengah jalan.

Namun bagi Mohamad Hafidz Rohani, pengusaha Kek Lapis Sarawak jenama Siti Payung, cabaran yang mendatang tidak menghalang usahanya mengembangkan perniagaan yang diusahakan oleh ibunya, Siti Jaharah Matassan sejak lebih 35 tahun yang lalu.

Perniagaan yang diwarisinya itu diusahakan persis tatacara ibunya yang sentiasa mengutamakan pemilihan dan penggunaan bahan-bahan berkualiti bagi menjamin keaslian rasa kek lapis yang dihasilkan. Malah Hafidz turut menyuntik pelbagai strategi pemasaran baharu dalam mengemudi dan mengembangkan syarikat sehingga berjaya seperti hari ini.

“Tipulah kalau saya kata berniaga itu mudah. Adakalanya semangat itu luntur juga, namun saya bingkas semula kerana saya tahu bahawa perniagaan yang diusahakan ini bukan sahaja menjana ekonomi untuk diri sendiri malahan mampu membuka lebih banyak peluang pekerjaan untuk orang ramai.

“Cabaran dan kesilapan terbesar yang pernah kami hadapi apabila tersalah percaturan dengan menyewa sebuah kilang berskala besar bagi mengeluarkan produk yang lebih banyak. Kami sangkakan kewangan sudah cukup kukuh, namun disebabkan kos logistik, utiliti dan lain-lain yang semakin meningkat membuatkan kami terpaksa berpindah semula ke premis perniagaan asal,” katanya.

Menurut Hafidz lagi, perkembangan teknologi media sosial seperti Facebook dan Instagram sedikit sebanyak membantu memperkenal dan melariskan produk terkenal Sarawak itu secara meluas.

Selain itu, Hafidz juga turut mewujudkan sebuah laman sesawang ‘Siti Payung’ bagi memasarkan produk-produk keluaran syarikatnya. Para pelanggan yang berminat boleh terus membuat tempahan kek lapis pelbagai rasa secara atas talian. Cara ini lebih mudah, pantas dan selamat terutama kepada mereka yang mungkin sukar untuk mendapatkan kek lapis Siti Payung di kedai-kedai fizikal.

“Pelanggan kami juga boleh membeli kek lapis melalui laman e-dagang seperti Lazada dan Shopee. Jenama kek lapis Siti Payung telah dikategorikan sebagai ‘preferred seller’ di Shopee. Ini merupakan hasil daripada permintaan dan pembelian yang dilihat semakin meningkat saban tahun,” ujarnya.

Sebagai seorang usahawan yang masih berusaha menguasai arena keusahawanan, Hafidz sememangnya memerlukan bantuan dan sokongan daripada pelbagai agensi kerajaan bagi membantu mengukuhkan perniagaan yang diusahakan.

“Saya melihat sokongan yang diberikan oleh PUNB bukan sekadar dari aspek pembiayaan sahaja, malah merangkumi khidmat nasihat dan pemantauan, kursus serta latihan agar usahawan terus berdaya tahan dan berdaya saing dalam perniagaan.

“Tambahan pula, kini PUNB juga sudah mula membuka jalan kepada para usahawan naungannya dengan menyediakan peluang-peluang untuk meneroka pasaran antarabangsa bagi memasarkan produk dan perkhidmatan yang ditawarkan. Ini merupakan inisatif yang baik selain membuka mata dan minda para usahawan tentang pasaran luar Negara, malah strategi ini juga dilihat dapat memperkenalkan identiti Malaysia melalui makanan seperti kek lapis Siti Payung,” akhiri beliau.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *