RINAAT CANE – Rakan Usahawan PUNB
Graduan Institut Teknologi Mara (ITM), kini dikenali dengan nama Universiti Teknologi Mara (UiTM), Hassan bin Shafee berpengalaman dalam sektor perhutanan sebelum menceburkan diri dalam bidang perniagaan miliknya, Rinaat Cane Sdn Bhd (RCSB). Pengasas RCSB ini mengakui, perjalanan bergelar seorang usahawan bukanlah sesuatu perkara yang mudah. Pelbagai cabaran yang perlu dilalui, antaranya apabila terpaksa berhadapan dengan risiko dalam mendapatkan bekalan rotan secara berterusan disebabkan oleh faktor cuaca yang tidak menentu selain kos pelaburan perusahaan rotan yang tinggi.
Hassan amat berbangga kerana perniagaan rotan yang diusahakan hampir tiga dekad itu telah menjadi salah satu pengeluar dan pengeksport perabot rotan terkemuka di negara ini. RCSB telah menghasilkan pelbagai jenis produk rotan dan juga bahan rotan mentah (jenis Manau dan Mantang) selain berpengalaman dalam mengeksport produk rotan ke beberapa negara di Timur Tengah, Eropah dan juga benua Amerika.
Hassan yang juga Pengerusi RCSB berkata, kini rotan bukan sahaja terhad kepada pembuatan perabot semata-mata, malah pembuatan rotan kini digunakan dalam pelbagai sektor antaranya sukan dan rekreasi serta pelancongan. Dalam sektor pelancongan misalnya, pembuatan rotan memainkan peranan penting dalam pembuatan produk anyaman. Manakala dalam sektor sukan dan rekreasi pula, rotan digunakan untuk menghasilkan busur bagi sukan memanah tradisional. Ini kerana sifatnya yang ringan, mudah lentur dan tahan lasak.
Diminta mengulas mengenai pemantauan dan pengawalan kualiti produk syarikatnya, Hassan menjelaskan bahawa RCSB telah spesifikasi rotan yang perlu dipatuhi dalam memastikan kualiti rotan tersebut sebelum ia dipasarkan.
Manakala dari segi penghasilan sesuatu produk rotan, ia perlulah seiring dengan kehendak pasaran dan juga pelanggan. Sehubungan itu, Hassan telah menggunakan pengalaman yang ditimba ketika menyertai ekspo serta lawatan kilang perabot di luar negara bagi menjana idea untuk menghasilkan produk baharu.
“Rotan merupakan produk malar hijau yang mempunyai peminat tersendiri. Rotan yang menjadi pilihan dan sering mendapat sambutan daripada para pelanggan, tlebih-lebih lagi pengumpul rotan adalah jenis Manau kerana ia merupakan spesies rotan berdiameter besar dan amat penting sebagai bahan mentah dalam industri perabot,” jelasnya.
Tambah beliau, rotan masih menjadi pilihan pada masa kini dan ia kekal relevan di pasaran. Ini terbukti apabila RCSB telah menghasilkan lebih daripada 150 reka bentuk unik untuk perabot dalaman dan luaran sehingga hari ini.
Bercerita lanjut mengenai perniagaannya, Hassan menyasarkan untuk memperluas dan memperkukuhkan lagi pemasaran produk keluaran RCSB melalui platform media sosial memandangkan syarikatnya merupakan ahli e-dagang Alibaba yang terawal di Malaysia sejak 2007. Menurut Hassan, kaedah sedemikian mampu membuka ruang kepada RCSB untuk berinteraksi secara terus dengan para pelanggan dan juga peminat rotan.
Nasihat Hassan untuk mereka yang hendak menceburi bidang perniagaan khususnya bidang yang beliau ceburi, dapatkan ilmu perniagaan terlebih dahulu dan ketahui produk apa yang ingin dipasarkan. Apa yang penting, sentiasa bersabar kerana tiada jalan pintas untuk berjaya.