MIWA Impi Bergelar Pengeluar Utama Makanan dan Minuman di Malaysia

MIWA MANUFACTURING SDN BHD – Rakan Usahawan PUNB

Pengalaman membantu arwah ibu berniaga produk makanan kering, merupakan antara faktor yang memberi inspirasi dan kejayaan MIWA Manufacturing Sdn Bhd, pengeluar produk makanan dan minuman seperti smoothies, ice blended, pati buah sejuk beku dan minuman jeli yang beroperasi di sekitar Lembah Klang.

Antara produk keluaran MIWA Manufacturing Sdn Bhd.

Menurut Pengarah Urusannya, Fara-Jasseica binti Mohd Rashid, mereka perlu menyusun semula penghasilan produk untuk memastikan stok jualan sentiasa ada disebabkan permintaan yang meningkat secara berterusan.

“Ini kerana stok yang dihantar kepada pelanggan pada kebiasaannya akan habis terjual dalam masa yang singkat,” katanya.

Selain daripada permintaan yang tinggi terhadap produk dihasilkan, antara faktor utama lain yang menentukan kejayaan syarikat ini  adalah sokongan yang diterima khususnya dari segi kewangan dan  moral daripada keluarga dan pekerja. Tanpa sokongan, mustahil MIWA Manufacturing boleh berada di tahap sekarang.

MIWA Manufacturing telah menerima bantuan pembiayaan perniagaan daripada PUNB pada 2010 untuk membeli lebih banyak stok barangan mentah bagi meningkatkan hasil pengeluaran produk.

Proses yang dijalankan oleh salah seorang pekerja MIWA bagi menghasilkan produk makanan dan minuman.

Hasil usaha gigih yang ditunjukkan oleh Fara-Jasseica dengan kerjasama daripada pekerjanya telah memperkukuhkan perniagaan menjadi stabil sehingga melayakkan MIWA Manufacturing untuk mendapat pembiayaan tambahan daripada PUNB. Peluang ini membolehkan syarikat memantapkan operasi pengeluaran dan pengedaran bagi menampung permintaan pasaran yang semakin berkembang.

Fara-Jasseica berkata, “Bagi perancangan jangka masa pendek, MIWA telah menjalin usaha sama dengan pengusaha pasaraya besar seperti Mydin dan Giant bagi mendapatkan tempat untuk memasarkan produk keluaran syarikat.”

Walaupun cabaran syarikat adalah masalah kekurangan modal kerana terpaksa berdepan dengan kos tenaga buruh yang tinggi bagi menampung skala pengeluaran yang semakin besar,namun demikian, syarikat tetap menyusun perancangan masa depan. Ini kerana untuk jangka masa panjang, MIWA berazam menjadi salah satu pengeluar utama produk makanan dan minuman di Malaysia pada masa akan datang.

Perniagaan MIWA masih muda dan banyak lagi bantuan dari aspek kewangan, bimbingan dari segi teknologi diperlukan untuk meningkatkan produktiviti syarikat.

Barisan pihak pengurusan MIWA Manufacturing Sdn Bhd.

Pihak pengurusan juga tidak lupa untuk sentiasa bersiap sedia bagi mendalami ilmu berkaitan pengurusan perniagaan, selain memantapkan lagi pengurusan sumber manusia bagi memastikan kelangsungan perjalanan perniagaan.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *