Apa Yang Perlu Ada Dalam RP Anda?

Tidak dinafikan jika kita taip carian “format rancangan perniagaan (RP)” di internet pasti tidak akan berhenti jari anda ‘scroll’..’scroll’ dan ‘scroll’ untuk cari cara buat RP yang terbaik.

Tapi tahukah anda, umumnya format RP sebenarnya mempunyai struktur yang ‘standard’.

Jadi, apa itu RP? RP adalah sebuah dokumen bertulis yang mempunyai maklumat atau gambaran menyeluruh berkenaan sesebuah perniagaan ataupun projek yang hendak dijalankan.

Biasanya, RP akan digunakan ketika usahawan/perniagaan itu ingin memohon pembiayaan, merancang mendapatkan dana, sebagai garis panduan ataupun untuk memohon sewaan hartanah baik premis, tanah dan sebagainya.

Sebagai sebuah agensi pemberi biaya untuk perniagaan, penyerahan RP merupakan antara langkah terawal untuk memohon pembiayaan dengan PUNB. Jom tengok format RP bagaimana yang akan mendapat ‘cop mohor’ kelulusan kaunter perkhidmatan pelanggan kami.

Pendahuluan & Pengenalan Projek

Ada juga yang guna istilah Ringkasan Eksekutif. Kedua-duanya membawa maksud yang sama.

Bahagian ini perlu memuatkan tentang keterangan umum syarikat dan perniagaan yang sedang diceburi (pembiayaan PUNB hanya untuk perniagaan yang telah beroperasi 18 bulan dan ke atas sahaja), tujuan RP disediakan, keperluan permohonan, ringkasan prestasi kewangan, produk & perkhidmatan ditawarkan.

Harus diingat, ia mestilah ringkas, padat dan menarik perhatian. Yang penting, jangan terlalu panjang.

Profil/Latar Belakang

Tiada makna RP tanpa pengenalan tentang pemilik dan syarikat/perniagaan yang diusahakan. Keterangan pengenalan RP harus ringkas dan padat. Jangan lupa untuk senaraikan nama dan latar belakang setiap pemegang saham/pengarah syarikat/rakan kongsi (jika ada) – kelebihan dan pengalaman mereka dalam industri/bidang perniagaan diceburi. Kalau anda nak tahu, profil pemilik/rakan kongsi juga boleh menjadi ‘point’ tambahan dalam meyakinkan pemberi biaya untuk meluluskan permohonan.

Maklumat-maklumat ini kebanyakan boleh diperolehi daripada Sijil Pendaftaran Syarikat/Perniagaan (SSM). Maklumat ini juga digunakan untuk menyemak syarat kelayakan pemohon dan CCRIS/Insolvency (ketakmampuan bayar).

Lampirkan juga:

Struktur organisasi, bilangan pekerja & huraian tugas dan jadual penggajian sebagai rujukan kepada pemberi biaya tentang cara pengurusan sumber manusia di syarikat anda.

Aspek Perkhidmatan & Operasi

Ini merupakan bahagian yang amat penting dalam RP anda.

Disinilah anda perlu meyakinkan pemberi biaya RP tentang produk/perkhidmatan yang ditawarkan dengan lebih terperinci dan mengapa mereka perlu meluluskan permohonan pembiayaan anda.

Lampirkan carta aliran proses kerja seperti langkah-langkah utama pengeluaran produk, kapasiti pengeluaran beserta huraian tentang produk yang dikeluarkan. Jika perkhidmatan, terangkan bagaimana ia dapat memberi manfaat kepada pelanggan. Perlu diingat, perincian harus dititik beratkan dalam huraian. Jangan lupa nyatakan juga kelebihan dan keunikan produk/perkhidmatan anda tawarkan yang dapat menarik minat pelanggan.

Senaraikan juga perkara berikut:

  1. Peralatan/aset sedia ada
  2. Stok/bahan mentah sedia ada
  3. Tambahan peralatan atau stok barangan diperlukan
  4. Waktu operasi perniagaan/syarikat

Sertakan lesen/sijil/dokumen berkaitan dan rancangan untuk perkembangan perniagaan, ini boleh menguatkan lagi RP anda disamping memberi jaminan dan keyakinan kepada pemberi biaya terhadap anda dan perniagaan.

Aspek Pemasaran

Kaedah pemasaran produk/perkhidmatan memainkan peranan yang penting dalam perniagaan dan ini juga merupakan ‘pelaris’ RP jika strategi pemasaran anda dapat menarik perhatian pemberi biaya.    

Antara ‘key-point’ yang perlu anda titik beratkan adalah:

  1. Lokasi/Premis –

Perniagaan ‘is all about LOCATION! LOCATION! LOCATION!’. Nyatakan di mana dan kelebihan anda memilih lokasi perniagaan tersebut.

  • Saiz, Trend & Kumpulan Sasaran –

Anda WAJIB tahu maklumat mengenai saiz permintaan serta trend pembeli produk/perkhidmatan terutama jika anda terlibat dalam bidang peruncitan. Maklumat ini boleh memberi gambaran tentang kebolehpasaran perniagaan anda

  • Ramalan Jualan Bulanan sehingga 2 Tahun (kriteria RP PUNB) –

Bukan sahaja di PUNB, malah mana-mana institusi pemberi biaya lain turut memerlukan maklumat ini sebagai petunjuk daya tahan dan kelangsungan sesebuah perniagaan. Ramalan ini termasuklah ramalan jualan bulan pertama selepas pembiayaan diluluskan

  • Strategi Pemasaran –

Mana-mana perniagaan perlu ada strategi pemasaran tersendiri. Anda harus memikirkan dari pelbagai sudut seperti kos & harga, kaedah penjualan yang terkini, promosi dan sebagainya. Strategi ini harus berpadanan dengan matlamat penghasilan sesebuah produk atau perkhidmatan.

  • Analisa Pesaing –

Ya! Pesaing! Anda kena tahu siapa pesaing anda. Bukan untuk buat musuh tetapi sebagai ‘one step ahead technique’ agar produk/perkhidmatan anda lebih mendapat perhatian. Tidak perlu senaraikan spesifik nama/entiti, cuma analisa persaingan seperti bilangan pesaing, apa yang ditawarkan, syer pasaran dan sebagainya. Maklumat ini memberi petunjuk kepada PUNB bahawa anda seorang usahawan yang peka dengan keadaan sekeliling dan pasaran semasa.

Aspek Kewangan

RP harus ada perincian prestasi kewangan syarikat/perniagaan yang terkini. Bahagian ini memainkan peranan penting bagi PUNB untuk mengenal pasti status serta kemampanan sesebuah perniagaan sebelum melayakkannya menerima pembiayaan.

Selain daripada akaun penyata untung rugi perniagaan, usahawan juga perlu lampirkan unjuran aliran tunai (bulanan) selama 2 tahun. Ini adalah antara perkara wajib yang akan dinilai oleh PUNB. Satu tip untuk unjuran aliran tunai ini, ia haruslah menunjukkan satu angka positif yang menunjukkan perniagaan tersebut bakal membawa keuntungan.

Memandangkan anda memohon pembiayaan dengan PUNB, aliran unjuran anda perlu memberi suatu indikasi dengan adanya sokongan kewangan ini akan menjadikan perniagaan bertambah lancar dan terus berkembang.

Jangan lupa masukkan juga sumber-sumber rujukan lain seperti gambar, senarai rujukan untuk semakan serta lampiran berkaitan.

Jika anda masih ragu-ragu atau ingin dapatkan maklumat lanjut tentang rancangan perniagaan, jom sertai Bengkel Rancangan Perniagaan PUNB. Tidak rugi mencari ilmu. Setidak-tidaknya anda tidak perlu pecah kepala mana nak mula dan tidak buang banyak masa!

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *