Bersakit-sakit dahulu, bersenang-senang kemudian, itulah peribahasa yang sesuai untuk menceritakan kisah perjalanan Nor Zachy Fernandez bin Zahari Fernandez sebagai seorang usahawan.
Siapa sangka pengasas Xair Communication Sdn Bhd ini pernah menghidap penyakit hipertiroid akibat pengeluaran berlebihan hormon tiroksina oleh kelenjar tiroid di leher ketika berumur 25 tahun. Ekoran daripada itu, bentuk fizikal pemilik syarikat ini berubah daripada gempal menjadi kurus akibat kesusutan berat badan sebanyak 24 kg dalam tempoh 2 bulan.
Perubahan ini membuatkan beliau hilang keyakinan diri kerana sentiasa keletihan dan lemah otot. Simptom lain termasuklah getaran tangan, perubahan emosi mendadak, degupan jantung yang tidak teratur dan masalah tidur.
Keadaan ini amat menyukarkan beliau untuk melakukan rutin harian dan kerja sebagai seorang jurutera di salah sebuah syarikat telekomunikasi tempatan yang bertapak di Bangkok, Thailand.
Hampir setahun setengah menerima rawatan dan setelah beransur pulih, beliau nekad untuk menubuhkan syarikatnya sendiri bersama seorang rakan kongsi pada April 2003.
“Saya menjadi usahawan kerana peluang, bukan secara kebetulan”, ujar Zachy. Beliau menegaskan asas perniagaannya bermula kerana wujud peluang dan bukan disebabkan ujian yang menimpa diri menjadikan ia sebagai semangat untuk mengubah nasibnya.
Pengalaman bekerja selama beberapa tahun dalam industri ini dimanfaatkan untuk bergiat aktif dalam industri telekomunikasi.
Di awal penubuhan syarikat, Xair mendapat pelanggan baharu melalui rujukan dari kenalan dan pelanggan. Syarikat menyediakan perkhidmatan kerja-kerja rencam seperti menjual dan memasang komputer serta sistem Wi-Fi di pejabat-pejabat pelanggan.
Rakan Kongsi Tidak ‘Sefrekuensi’
Mungkin ramai usahawan hari ini yang berani memulakan perniagaan secara solo demi mencapai wawasan peribadi mereka, namun, tidak bagi Zachy. Sebagai usahawan baharu di awal penubuhan syarikatnya, beliau memerlukan sokongan dan bantuan rakan kongsi untuk menguruskan bidang yang beliau belum begitu mahir. “Dalam perniagaan, penting untuk mencari rakan kongsi yang baik dan sehaluan. Malangnya, saya tersalah langkah,” kata Zachy dengan kesal.
Usahawan yang kini berumur 40 tahun ini mengakui setelah memulakan perniagaan, beliau dan rakan kongsinya tidak mempunyai hala tuju yang sama untuk syarikat. Keadaan itu menyukarkan mereka untuk meneruskan perniagaan bersama dan akhirnya terpaksa bergerak secara berasingan. Beliau bernasib baik apabila bertemu rakan universitinya, Mohd Azrul Ahmad yang menawarkan diri untuk menjadi rakan kongsi beliau. Walaupun hubungan mereka tidaklah rapat semasa di universiti, namun Azrul dilihat mempunyai wawasan yang sama dan boleh dipercayai.
Xair mula bertapak di sebuah ruang kosong di rumah keluarga Zachy sebelum berpindah ke rumah Azrul pula. Azrul mengurus bahagian kewangan, manakala Zachy mengurus bahagian pembangunan perniagaan. Sedikit demi sedikit, Xair mula berkembang dengan mengambil pekerja bermula dengan hanya dua orang pelajar praktikal dan dua orang jurutera. Dengan tenaga kerja yang meningkat, syarikat ini mula mempelbagaikan perkhidmatan yang ditawarkan seperti mengendali rundingan selular dan wayarles. Senarai pelanggan juga telah bertambah merangkumi syarikat telekomunikasi tempatan seperti Maxis, Digi, Celcom, U Mobile & P1 dan syarikat antarabangsa terkemuka seperti Ericsson, Alcatel–Lucent, Nokia Siemens Network, Huawei, dan Motorola.
Bagi siswazah jurusan kejuruteraan elektrik dan elektronik ini, kejayaan yang diperolehinya merupakan gabungan usaha bersama para pekerja dan rakan kongsi yang amat komited dan mempunyai wawasan yang sama. Kini Xair sudah genap 14 tahun beroperasi dan hari ini mempunyai beberapa buah pejabat di luar negara dengan menawarkan perkhidmatan telekomunikasi di beberapa negara ASEAN, termasuklah Brunei, Filipina, Indonesia, Kemboja dan Dubai.
Interferens: Usia dan Kekurangan Modal
“Cabaran terbesar kami ialah umur, keduanya ialah modal,” rumus beliau pendek apabila kemampuan mereka sering dipandang rendah dan berdepan dengan kekurangan modal sewaktu di awal perniagaan. Tatkala banyak pihak yang meragui keupayaan dan kredibiliti anak muda sepertinya mengendalikan sebuah syarikat telekomunikasi ketika itu, namun Zachy tidak pernah berputus asa untuk memajukan Xair.
Baginya, cabaran tersebut adalah lumrah dan ia diibarat sebagai satu gangguan sistem gelombang selular atau Wi-Fi yang perlu di atasi untuk mematangkan diri sebagai seorang usahawan. Zachy telah cuba untuk mendapatkan pembiayaan daripada pelbagai institusi kewangan, namun gagal sehinggalah beliau menemui PUNB dan berjaya mendapat pembiayaan sebanyak RM800 ribu. Dedikasi dan kemampuan yang ditunjukkan oleh Xair menarik minat PUNB untuk menawarkan pembiayaan kali kedua sebanyak RM4 juta dibawah Skim PKS apabila mereka berjaya melunaskan pembiayaan pertama dalam jangka masa 2 tahun sahaja!
Dengan pembiayaan yang lebih besar, Xair berjaya mengembangkan rangkaian perniagaannya di dalam dan luar negara dengan membuka lebih banyak cawangan.
Takut Hadapi Ralat Kewangan
Sebagai usahawan, Zachy tidak terlepas dari merasai kegagalan sehingga pernah hilang akal dan demam teruk dek masalah kewangan. Beliau kesal dengan dirinya yang cepat melatah, takut dan langsung tidak bersiap sedia untuk berdepan dengan kegagalan tersebut. Beliau mengambil masa yang agak lama untuk bangkit semula daripada situasi itu. Walau bagaimanapun, baginya semua itu adalah suatu pengalaman dan pengajaran yang bermakna kerana kegagalan tersebut menjadikan beliau seorang yang lebih tabah untuk berdepan situasi yang sama.
“Sifat yang diperlukan untuk menjadi seorang usahawan ialah sentiasa bersedia untuk gagal dan memandang kegagalan secara positif,” jelas beliau.
Nasihat Zachy kepada jurutera muda yang baru memulakan kerjaya dan mahu mengikut jejak langkahnya dalam bidang keusahawanan supaya menjadi pekerja yang proaktif sebelum mencuba perkara baharu. Selain itu, sentiasa sediakan rancangan sandaran dan sistem sokongan dari segala sudut perniagaan agar tidak terganggu dengan mana-mana halangan dan ujian yang menimpa.