Bergelar usahawan di zaman ‘fast-paced digital’ ini, memiliki aplikasi yang boleh membantu menguruskan perniagaan amat penting kerana ia membolehkan anda memantau pergerakan perniagaan di mana saja berada.
Oleh itu, anda harus tahu jenis aplikasi mudah alih yang mana perlu anda miliki terutama bagi meningkatkan produktiviti, komunikasi, pengurusan masa & kewangan, serta aspek-aspek lain berkaitan perniagaan.
Antara aplikasi yang anda perlu ada adalah:
Skype
Skype adalah antara aplikasi yang menjadi pilihan banyak perniagaan dan individu khususnya untuk berhubung secara panggilan video. Penggunaannya sangat mudah dan muat turun Skype juga adalah percuma. Selain membolehkan anda membuat panggilan antarabangsa dengan kos rendah, ia juga mampu merakam pertemuan atau panggilan penting melalui video dan audio. Malah, perkongsian skrin juga boleh dilakukan secara berkumpulan memudahkan anda untuk berkolaborasi dalam projek tanpa perlu bersemuka secara berdepan dengan pelanggan.
LinkedIn
Aplikasi ini tidak perlu diperkenalkan lagi malah kini ia menjadi medium utama bagi golongan profesional di seluruh dunia yang ingin mencari pelabur, rakan kongsi atau calon pekerja/pelanggan berdasarkan kelayakan, industri, pengalaman dan banyak lagi. Melalui LinkedIn juga, anda boleh mendapatkan maklumat terkini tentang perkembangan semasa dunia perniagaan baik dalam mahupun luar Negara. Secara dasarnya, LinkedIn adalah umpama Facebook bagi golongan profesional yang ingin ‘melobi’ kredibiliti mereka selain berkongsi maklumat yang bermanfaat dengan orang ramai.
Scan2PDF Mobile
Scan2PDF Mobile adalah aplikasi yang digunakan untuk mengimbas dokumen dan menukarnya kepada fail PDF hanya menggunakan telefon pintar anda. Pada asasnya, ia menjadikan telefon anda pengimbas dokumen dan mesin faks. Perisiannya meningkatkan dan memampatkan output dari kamera ke dalam PDF berkualiti tinggi, yang kemudian disimpan di telefon anda dan ia dapat diemel. Secara tidak langsung, ia menjimatkan masa, wang dan juga alam sekitar memandangkan tiada sebarang cetakan karbon diperlukan.
Dropbox
Ia merupakan salah satu penyimpanan atas talian terbaik saat ini di mana ia boleh diakses pada bila-bila masa dari peranti yang mempunyai rangkaian internet. Dropbox membolehkan perkongsian foto, dokumen dan video dengan komputer riba atau peranti mudah alih melalui perkhidmatan penyimpanan fail. Aplikasi ini sangat berguna untuk berkongsi fail dengan rakan sekerja anda.