Dunia keusahawanan tidak menjanjikan kehidupan senang lenang dalam masa yang singkat. Kebanyakan usahawan mengalami jatuh bangun berulang kali sebelum dapat menikmati hasil titik peluh mereka. Ada juga kejayaan mereka hanya dinikmati oleh generasi seterusnya setelah mereka tiada lagi di dunia ini. Hakikat inilah yang perlu difahami oleh mereka yang ingin atau baru menceburkan diri dalam dunia keusahawanan.
Ada beberapa ciri khusus yang dimiliki oleh usahawan berjaya seperti mempunyai harga diri yang tinggi, memiliki sikap yang positif dan mempunyai matlamat serta tujuan hidup. Sifat tidak mudah berputus asa dalam menghadapi cabaran dan dugaan yang menjadi asam garam dunia keusahawanan juga adalah ciri yang penting. Hanya mereka yang cekal, tabah dan tidak mudah putus asa akan menemui kejayaan.
Usahawan yang cekal akan lebih komited dan yakin bahawa kejayaan akan sentiasa menunggunya di hadapan. Cabaran yang datang dalam pelbagai bentuk dan ragam itu akan menguji ketahanan seseorang sama ada dia dapat bertahan atau tidak. Tanpa semangat yang kukuh dan tabah, tidak mungkin seseorang usahawan itu dapat bertahan. Sikap tabah dan tidak mudah berputus asa ini akan menjadikan anda seorang usahawan yang hebat. Sekalipun anda tidak dianugerahkan dengan apa-apa bentuk penghargaan, namun anda tahu anda telah mencapai ke tahap di mana anda telah berjaya melakukannya sedangkan rakan-rakan anda yang lain sudah kecundang. Ia adalah satu kejayaan yang sejati bagi diri anda. Dan bagi mereka yang berjaya sikap tidak mahu mengaku kalah, cekal dan terus berusaha adalah sikap yang membawa mereka menuju kejayaan. Mereka juga tidak percaya dengan kejayaan segera.
Setiap mereka yang menceburkan diri dalam dunia keusahawanan menanam niat untuk berjaya dan mereka memulakannya dengan harapan yang sangat tinggi. Namun, cabaran demi cabaran yang dialami menyebabkan semangat yang berkobar-kobar itu mula luntur sehingga akhirnya gulung tikar.
Apa yang membezakan mereka dengan usahawan yang berjaya ialah mereka tidak memberi peluang kepada keupayaan diri mereka untuk bertahan ’10 minit lagi’. Jika semangat mereka kental, masa ’10 minit’ itu dapat mengubah masa depan mereka.
Ciri-ciri Orang Yang Cekal
Orang yang cekal mempunyai ciri-ciri khusus yang menyebabkan mereka hebat secara luar biasa daripada usahawan lain. Dengan ciri ini mereka sanggup menghadapi apa sahaja demi mencapai kejayaan yang dicita-citakan:
- Mempunyai sikap PHD iaitu poor, hungry dan driven. Sikap-sikap inilah yang sebenarnya mengatasi segalanya. Mereka yang tergolong dalam kategori ini mempunyai tenaga yang luar biasa, bersifat ingin tahu dan optimis serta berkeinginan untuk melakukan sesuatu yang di luar jangkaan orang biasa. Mereka mempunyai motivasi tinggi dan dapat memberi tumpuan mendalam terhadap apa yang dilakukan. Boleh dikatakan, apa sahaja yang mereka tetapkan dalam fikiran, pasti akan dapat dicapai.
- Orang yang tabah dan cekal tidak mengalah kepada keadaan mental dan fizikal mereka. Sesungguhnya segala cabaran dalam perniagaan itu sangat meletihkan minda dan fizikal, namun mereka memahami bahawa kejayaan yang bakal dihadapi adalah terlalu jauh dan sukar dicapai. Setiap hari mereka perlu bersaing dan berazam untuk memiliki kejayaan tersebut. Sekalipun cabaran demi cabaran dilalui, mereka tidak akan berundur kerana mereka telah mencurahkan banyak tenaga untuk mencapai kejayaan yang diidam-idamkan.
- Orang yang cekal tidak jumud, bermakna fikiran mereka sentiasa terbuka untuk menerima pandangan dan kaedah baru. Pegangan hidup mereka tidak statik sebaliknya berubah mengikut perubahan masa yang membolehkan mereka sentiasa berada dihadapan. Pelbagai cara dicari untuk merangsang minda agar sentiasa cergas dan positif. Bersifat kreatif untuk mengatasi masalah memberi suntikan semangat baru kepada apa yang anda lakukan dan percaya bahawa setiap hari merupakan peluang yang baru.
- Tidak ada perkataan ‘berhenti’ dalam kamus hidup seorang usahawan yang cekal. Usahawan yang melibatkan diri dalam dunia keusahawanan sebenarnya tidak mempunyai pilihan lain selain daripada untuk terus maju kehadapan. Kegagalan adalah rencah kehidupan dan penting untuk mencapai kejayaan, namun kegagalan tidak bermakna berhenti. Walaupun kegagalan boleh menyebabkan hati menjadi goyah, namun jika usahawan memberi peluang untuk bertahan ’10 minit’ lagi, mungkin mereka dapat mengatasi kegagalan itu.
Oleh itu anda perlu sentiasa beringat bahawa setiap titik peluh dan air mata serta penat lelah sudah pasti akan berbayar dengan kejayaan. Sesungguhnya, ganjaran bagi mereka yang tabah dan kekal adalah kejayaan hakiki.
Sumber Arkib: Buletin Usahawan Nasional Bilangan 10