RADZUAN RADZIWILL SDN BHD – Rakan Usahawan PUNB
Jika bercuti di Pulau Langkawi, pasti ramai sudah mengenali Kunang Kunang Heritage Villas yang terletak di Kampung Gelam, Pantai Cenang. Namun, tidak ramai yang mengenali pengusaha di sebalik tempat penginapan berkonsepkan rumah tradisional Melayu ini. Merupakan seorang figura yang sangat terkenal dalam dunia fesyen, Datuk Radzuan Radzi atau lebih dikenali sebagai Datuk Radzuan Radziwill merupakan pemilik kepada villa-villa tersergam indah yang dikelola di bawah syarikat miliknya, Radzuan Radziwill Sdn Bhd.
Lokasinya yang strategik telah menjadikan tempat penginapan ini pilihan utama para pelancong apabila ke pulau lagenda itu. Berbanding pusat penginapan lain, Kunang Kunang Heritage Villas menawarkan suasana dan konsep yang unik dengan budaya dan tradisi Melayu serta pemandangan indah. Konsep ini pasti menarik minat mereka yang mementingkan ketenangan, jauh dari hiruk pikuk bandar.
Antara tarikan lain yang menjadi tumpuan adalah sajian masakan Melayu Perak, negeri kelahiran Datuk Radzuan serta beberapa pilihan makanan Barat bagi pelancong yang tidak biasa dengan rasa makanan tempatan.
“Niat untuk membuka perniagaan sendiri bermula sejak dahulu lagi. Ketika itu, saya sudah mula mengumpul sedikit demi sedikit barangan tradisional lama Melayu yang sesuai dengan konsep penginapan impian saya menggunakan hasil simpanan sendiri,” jelasnya.
“Namun untuk menyediakan kemudahan yang unik seperti ini bukanlah mudah. Cabarannya adalah untuk memulihara dan memelihara rumah tradisional Melayu yang kebanyakan daripada binaannya berusia lebih daripada 100 tahun.
“Struktur rumah-rumah penginapan di Kunang Kunang merupakan struktur asal rumah tradisional Melayu masyarakat negeri Perak dan Kedah termasuklah rumah asal penduduk di Pulau Langkawi. Saya bertemu dan membeli sendiri struktur rumah-rumah ini daripada pemilik asal,” tambahnya.
Walau bagaimanapun, untuk melaksanakan projek ini secara besar-besaran, sejumlah modal besar diperlukan. Disebabkan itu, Datuk Radzuan telah memohon pembiayaan perniagaan daripada PUNB. Bantuan dan sokongan perniagaan yang ditawarkan oleh PUNB telah membuka ruang kepada Datuk Radzuan untuk meneruskan cita-citanya dan pada November 2017, Kunang Kunang Heritage Villas telah berjaya dibuka. Sambutan yang diterima di awal pembukaan amat menggalakkan baik daripada pelancong dalam mahupun luar Negara.
Bagi Datuk Radzuan, beliau percaya, para pelancong yang menginap di sini rata-ratanya kagum dengan konsep ini dan ia menjadi satu tarikan istimewa selain dapat membuka peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan.
Kejayaan beliau pada hari ini membuktikan bahawa dengan kreativiti dan kebijaksanaan mencari kelebihan serta merebut peluang yang ada mampu melonjakkan perniagaan yang diusahakan. Tiada kejayaan tanpa usaha dan kesungguhan bahkan jatuh ba¬ngun dalam perniagaan pasti menjadi asam garam buat seseorang usahawan dalam meniti cabaran yang mendatang.
Wow! Tak sangka Kunang-Kunang milik bumiputra. Selama ini cuma tahu yang Bon Ton Langkawi yg buat konsep penginapan rumah kampung Melayu kat Langkawi. Itu pun milik Mat Saleh.
Rupanya kita ada Kunang-Kunang yg pun sama konsep, sama power.
Moga terus sukses!!!
Salam Iskandar,
Terima kasih kerana melayari Usahawan Nasional Webzine serta maklum balas yang telah diberikan.
Kami berharap dengan maklumat yang dikongsi akan membantu serta dapat menjana idea untuk perniagaan anda.
Layari juga artikel-artikel lain dan kongsikan bersama kenalan anda!
Jika berminat untuk mendapatkan pembiayaan perniagaan daripada PUNB, anda bolehlah kunjungi Ibu Pejabat atau Pejabat-pejabat Wilayah PUNB yang berdekatan.
Anda juga boleh mendapatkan maklumat lanjut tentang kami di http://www.punb.com.my
Sebarang pertanyaan, bolehlah hubungi Pusat Khidmat Pelanggan kami di talian 1300 13 7862.
Terima kasih.