Peluang Perniagaan dalam Sektor Penjagaan Kesihatan

Tahukah anda? Negara kita sebenarnya telah diiktiraf sebagai negara yang menyediakan perkhidmatan kesihatan terbaik di dunia.

Fakta ini dibuktikan oleh Jurnal Pelancongan Perubatan Antarabangsa (International Medical Travel Journal, IMTJ) yang telah menobatkan Malaysia sebagai negara destinasi pelancongan kesihatan dan perubatan terbaik dari 2015 sehingga 2017. Malaysia juga menerima anugerah yang sama bagi Cluster of The Year pada 2018 dalam sektor pelancongan kesihatan dan perubatan.

Menjelang 2027, sektor penjagaan kesihatan dijangka akan membuka lebih banyak peluang perniagaan bagi mereka yang berkelulusan dalam bidang perubatan. Adakah anda juga berminat untuk menceburi bidang penjagaan kesihatan? Bidang-bidang dibawah mungkin antara perniagaan yang boleh anda ceburi.

Penjagaan Paliatif dan Rawatan di Rumah

Penjagaan paliatif adalah penjagaan kesihatan di rumah pesakit yang tertumpu kepada peningkatan kualiti hidup khususnya bagi mereka yang menghidap penyakit serius. Salah satu perkhidmatan yang diwujudkan untuk memenuhi permintaan seperti ini ialah DocMove. DocMove menyediakan perkhidmatan kesihatan dan perubatan secara berkala kepada warga emas. Melalui perkhidmatan ini, doktor atau paramedik akan membuat lawatan ke rumah pesakit dan melakukan pemeriksaan kesihatan asas setiap bulan. DocMove telah membuka kira-kira 300 cawangan di Perak. Bagaimanapun masih banyak wujud peluang untuk memperkenalkan perkhidmatan seperti ini di kawasan lain.

Selain DocMove, HomeGP juga menyediakan perkhidmatan yang hampir sama. HomeGP bukan sahaja hanya menawarkan perkhidmatan lawatan pemeriksaan kesihatan ke rumah malah turut menyediakan khidmat penjagaan pesakit di rumah oleh jururawat, ahli fisioterapi serta penjaga terlatih.

Salah satu lagi cara untuk memenuhi permintaan terhadap penjagaan kesihatan ialah menerusi aplikasi mudah alih seperti Speedoc yang membolehkan pesakit mendapat rawatan di rumah sendiri. Aplikasi ini sangat berguna sekiranya pesakit tidak dapat pergi ke klinik atau hospital.

Jadi, sekiranya anda memiliki kelayakan dan kebolehan untuk menyediakan perkhidmatan seperti ketiga-tiga aplikasi kesihatan ini, mungkin ini bidang perniagaan yang sesuai untuk anda.

Pakar Terapi Urutan Kesihatan

Rawatan yang melibatkan teknik urutan bukanlah sesuatu yang baharu bagi masyarakat negara kita.

Menurut Mayo Clinic dan kajian yang diterbitkan dalam International Journal of Therapeutic Massage and Bodywork, terapi ini bukan sahaja mengurangkan tekanan atau stres malah membantu melegakan kesakitan berterusan. Antara penyakit yang boleh dirawat menggunakan terapi ini termasuklah kanser, kecederaan sukan, darah tinggi dan artritis reumatoid atau peradangan sendi.

Antara pusat rawatan yang menyediakan perkhidmatan urutan ini adalah Sari Cantik Ibu Beauty and Spa, sebuah pusat rawatan terapi yang terletak di Medan Mara, Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur. Mereka menawarkan terapi sentuhan saraf kepada pelanggan yang tertumpu pada bahagian saraf tertentu. Rawatan yang disediakan sangat sesuai bagi mereka yang mengalami sakit belakang, tekanan darah tinggi atau migrain, serta pesakit strok.

Sebuah lagi pusat rawatan terapi iaitu Asia Physio pula memberi tumpuan kepada pemulihan seperti kecederaan sukan atau pembedahan. Di samping terapi urutan sukan, pusat terapi ini turut menawarkan urutan untuk ibu mengandung. Selain daripada 2 cawangan di Malaysia, Asia Physio yang ditubuhkan di Jepun pada 2002 ini turut mempunyai cawangan di Singapura.

Memandangkan terdapat permintaan terhadap terapi urutan kesihatan, bidang ini pasti mampu menyediakan peluang bagi mereka yang berminat untuk menceburinya.

Penyediaan Makanan Sihat

Kementerian Kesihatan Malaysia sentiasa menggalakkan masyarakat Malaysia supaya mengamalkan pemakanan yang lebih sihat. Pengambilan makanan sihat amat penting bagi mengurangkan risiko serangan jantung, kanser dan diabetes.

Faktor yang mendorong rakyat Malaysia mengendahkan pemilihan pemakanan secara sihat, terutamanya di kawasan bandar, termasuklah kekangan masa serta kurang kesedaran. Salah satu cara mengatasinya adalah dengan membuka lebih banyak gerai atau restoran berkonsepkan makanan sihat atau eat clean. Ini sekaligus dapat memberi peluang kepada masyarakat untuk menjadikan makanan sihat sebagai gaya hidup.

Antara restoran yang mengamalkan konsep makanan sihat ini ialah Simple Life, sebuah restoran makanan yang menghidangkan makanan pemayur (vegetarian) organik.. Simple Life tidak menggunakan ‘daging tiruan’ (mock meat) daripada gluten atau penambah perisa mononatrium glutamat (MSG) dalam masakannya. Sebaliknya, semua hidangan disediakan menggunakan ramuan semula jadi dan organik, tanpa bahan pengawet atau lemak trans.

Dengan pertambahan permintaan penghantaran makanan menerusi aplikasi GrabFood dan Foodpanda serta penjualan harga makanan yang berpatutan, peluang pengusaha makanan sihat untuk menerima pelanggan juga akan meningkat.

Ringkasnya, sektor penjagaan kesihatan tidak hanya terbatas kepada perkhidmatan secara klinikal sahaja.. Masih terdapat banyak lagi peluang perniagaan lain yang dapat diceburi bagi memastikan kesihatan diri secara keseluruhan berada pada tahap yang baik. Siapa tahu, perkhidmatan kesihatan yang anda tawarkan dapat merubah kehidupan masyarakat di luar sana.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.