Kapten Batik Beri Sentuhan Batik Moden dan Kontemporari

KAPTEN BATIK (M) SDN BHD – Rakan Usahawan PUNB

Batik merupakan identiti warisan bangsa yang sinonim dengan negeri pantai timur di Malaysia, khususnya di Terengganu dan Kelantan. Secara umumnya, pemakaian batik telah menjadi sebahagian daripada budaya di Malaysia kerana ia sering dipakai dalam majlis-majlis rasmi dan keramaian.   Seiring peredaran zaman dan peralihan generasi, batik kini telah diperhalusi menjadi lebih moden bagi memenuhi cita rasa masyarakat semasa.

Kehadiran pereka fesyen duo iaitu Ekram Faiz dan Farhan Omar dalam memartabat warisan seni batik Malaysia ternyata berjaya menambat hati masyarakat dengan mengetengahkan corak dan rekaan moden yang eksklusif. Perjalanan mereka bermula apabila Kapten Batik ditubuhkan pada Mac 2017 dengan hasrat untuk menjadikan batik sebagai pakaian harian yang boleh digayakan pada bila-bila masa dan untuk pelbagai acara. Pengalaman bercuti ke beberapa negara telah memberi inspirasi untuk menghasilkan motif batik moden kontemporari yang kemudiannya diadaptasi pada fabrik mengikut potongan Tailored Fit, Custom Slim Fit dan Modern Fit, sesuai dengan cita rasa generasi muda sekali gus mampu menarik minat pelbagai masyarakat untuk menggayakannya.  

Kapten Batik tekad untuk mengubah tanggapan masyarakat, khususnya kaum lelaki, tentang pakaian batik yang tradisional ke premium dan moden eksklusif. Menurut Ekram, untuk memanifestasikan hasrat ini, Kapten Batik amat mementingkan kualiti setiap produk yang dihasilkan bermula dari pemilihan fabrik yang kebanyakan ditempah khas dari Indonesia dan India. Proses penghasilan rekaan yang teliti amat diutamakan bertepatan dengan harga jualan sasaran bermula dari RM100 sehingga RM700.

Sudah menjadi adat berniaga, pasti akan ada cabaran dan ujian yang perlu dilalui. “Cabaran dalam berniaga adalah lumrah dan Kapten Batik tidak terlepas daripadanya. Tatkala penularan pandemik Covid-19, Kapten Batik diuji apabila kerajaan mengisytiharkan perintah kawalan pergerakan dan semua perniagaan diarahkan tutup demi keselamatan masyarakat. Pada waktu itu kami telah menyiapkan koleksi lebaran tahun 2020.  Namun, di sebalik kesulitan itu merupakan satu titik tolak kepada Kapten Batik untuk berada dalam talian,” ujar Farhan.

Bagi memastikan koleksi tersebut terjual, Kapten Batik mula mempromosi secara dalam talian menerusi beberapa platform digital seperti laman rasmi syarikat, aplikasi WhatsApp, Facebook dan Instagram. “Nasib menyebelahi kami kerana kebetulan pada masa itu trend pembelian secara dalam talian mengalami peningkatan mendadak. Alhamdulillah, sejak itu jenama Kapten Batik semakin dikenali hinggakan ada yang mula menawarkan untuk menjadi ejen atau dropship. Namun begitu, kami sepakat untuk tidak menggunakan konsep tersebut kerana ingin mengukuhkan jenama Kapten Batik dalam kelas tersendiri. Meskipun demikian, Kapten Batik membuka peluang kepada usahawan yang berminat dalam perniagaan francais namun bergantung kepada pemilihan lokasi,” tambah Farhan.

Melihatkan kepada kejayaan yang dikecapi, sejak dari itu mereka memutuskan untuk lebih aktif mempromosi Kapten Batik secara dalam talian. Strategi lain yang dilakukan untuk mempromosi Kapten Batik adalah menyertai bazar hujung minggu di pusat membeli-belah yang melibatkan barisan selebriti tempatan.

Berbicara tentang perancangan masa hadapan pula, kedua-dua rakan kongsi ini ingin mensasarkan pembukaan tiga lagi cawangan Kapten Batik iaitu di KLIA pada penghujung Ogos, Tun Razak Exchange (TRX) dan Menara PNB 118 pada suku keempat tahun ini. Sehingga kini, Kapten Batik telah memiliki sebanyak tujuh kedai di pusat beli belah terkemuka Kuala Lumpur, Selangor dan Pulau Pinang. Selain itu, Kapten Batik juga berhasrat untuk tembusi pasaran antarabangsa seperti Singapura dan London.

Bukan itu sahaja, Kapten Batik menetapkan untuk mengeluarkan tiga koleksi baharu setiap tahun iaitu pada Mac, Jun dan Julai, selain musim perayaan.  “Untuk tahun ini, Kapten Batik mendapat inspirasi menghasilkan rekaan daripada bangunan ikonik di Malaysia tetapi masih mengekalkan warisan batik itu sendiri,” jelas Farhan lagi.

Dalam pada itu, Ekram dan Farhan tidak lokek berkongsi tip kepada usahawan lain dengan menyatakan bahawa usahawan perlu lebih kreatif dan sentiasa memikirkan strategi bagi memajukan perniagaan. Selain itu, para usahawan perlu berani dan tahu saingan dalam pasaran untuk mencapai matlamat dalam perniagaan.

2 Ulasan

    1. Author

      Hi FAR,
      Terima kasih kerana melayari Usahawan Nasional Webzine serta maklum balas yang telah diberikan.
      Layari juga artikel-artikel lain dan kongsikan bersama kenalan anda!

      Jika terdapat sebarang pertanyaan, anda boleh hubungi Pusat Khidmat Pelanggan kami di talian 1300 13 7862.

      Terima kasih.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *