Ada ke orang yang tak suka bercuti?
Baik majikan mahupun pekerja, peluang untuk bercuti dan lupakan sementara segala tugas yang dipikul amatlah dinanti-nantikan kerana percutian dapat mengurangkan tekanan, kembalikan semangat serta ‘reset’ semula minda untuk memikirkan strategi-strategi baharu dalam urusan seharian perniagaan.
Namun, bagaimana untuk memastikan perniagaan dan kerja-kerja yang ditinggalkan itu tidak mengganggu masa kita semasa sedang bercuti?
Apakah perkara yang harus dipertimbangkan jika ingin bercuti? Berikut adalah serba sedikit tentang perancangan yang perlu dilakukan sebelum memulakan percutian.
- Biasakan diri mengagih tugas
Sebelum menikmati percutian, pelbagai perkara perlu diselesaikan agar ia tidak mengganggu anda ketika sedang bercuti. Salah satu daripadanya adalah mengagihkan tugas sewajarnya kepada ‘The Next Person-In-Charge’. Jika anda seorang majikan atau pemilik perniagaan, sudah pasti anda mempunyai orang kedua yang dapat menguruskan perniagaan semasa ketiadaan anda. Begitulah juga jika anda seorang pekerja.
Namun, jika tugas tersebut sememangnya di bawah tanggungjawab anda seorang sahaja, dinasihatkan supaya anda menyelesaikan setiap tugas atau perkara-perkara penting terlebih dahulu bagi mengelakkan kualiti masa bercuti anda diganggu.
Walau bagaimanapun, harus diingat, kaedah pengagihan tugas haruslah bijak dan teratur serta tidak melepaskan sebulat-bulatnya kerja anda tanpa sokongan dan bimbingan. Ini amat penting kerana ia dapat memberi keyakinan dan petunjuk kepada pekerja/rakan sekerja anda tentang apa yang harus dilakukan. Jika tidak, jangan terkejut jika kerja-kerja yang anda tinggalkan sebelum bercuti masih kekal sama selepas anda kembali ke pejabat atau tempat kerja.
- Beritahu pelanggan anda akan bercuti
Sekiranya anda sering berhubung dengan pelanggan, eloklah jika anda memaklumkan kepada mereka tentang perancangan anda untuk bercuti. Pendekatan proaktif ini bukan sahaja memberikan anda masa untuk menyelesaikan sebarang masalah yang mungkin timbul, tetapi juga menjadikan pelanggan dan rakan anda berasa dihargai.
Ketika menemui pelanggan sebelum bercuti, bincangkan projek kerjasama yang sedang berlangsung serta apa-apa isu yang masih perlu diselesaikan. Tentukan sama ada isu tersebut boleh ditangani dengan sewajarnya sebelum anda bercuti atau lebih sesuai ditangguhkan sehingga anda kembali.
Pastikan pelanggan anda yakin bahawa urusan mereka tetap terjaga dan ada kakitangan yang akan menangani apa-apa perkara yang perlu semasa ketiadaan anda.
- Lakukan percubaan
Jika anda mempunyai urusan di luar pejabat, gunakan peluang ini untuk menguji kemampuan kakitangan menangani urusan perniagaan anda tanpa pengawasan. Biarkan pengurus atau penyelia mengendalikan sendiri perniagaan anda beberapa kali sebelum anda pergi bercuti. Kemudian, bincangkan perkara yang perlu dibaiki, jika ada. Gunakan maklum balas kakitangan tentang pengalaman mereka bekerja semasa ketiadaan anda untuk membuat ramalan berkenaan masalah atau isu yang mungkin timbul dan cara-cara untuk menanganinya tanpa anda.
Percubaan seperti ini akan menjadikan anda lebih yakin dengan kemampuan kakitangan. Malah, keyakinan mereka untuk mengendalikan operasi perniagaan secara kendiri juga akan meningkat.
Jadi…Jom Bercuti!
Anggaplah percutian sebagai suatu proses pembelajaran dalam mempercayai seseorang untuk menguruskan perniagaan dan tugas-tugas seharian. Masalah masih boleh berlaku namun, dengan perancangan yang teliti pasti mampu mengurangkan risiko dan tekanan anda.
Ubah pemandangan, lapangkan fikiran dan bercutilah dengan tenang!