Facebook telah menjadi salah satu medium yang paling popular untuk pemasaran. Dengan lebih daripada dua bilion pengguna, Facebook menjanjikan khalayak besar untuk perniagaan anda. Akan tetapi, dengan lebih daripada 60 juta halaman perniagaan aktif di Facebook, persaingan untuk mendapat sukaan juga menjadi agak hebat.
Sebagai pengusaha perniagaan di Facebook, anda mungkin tertanya-tanya bagaimana caranya untuk mengumpulkan lebih banyak sukaan bagi perniagaan anda. Berikut ialah tujuh cara untuk mengumpul lebih banyak lagi sukaan di Facebook dalam masa yang singkat.
- Kenali strategi pemasaran di Facebook
Pasti ramai yang mengendalikan halaman Facebook sudah biasa dengan strategi pemasaran. Walaupun begitu, tidak ramai yang memahami kepentingan strategi pemasaran Facebook dan cara bagaimana strategi ini akan membantu perniagaan. Perkara ini boleh dikatakan amat penting kerana jika kita mempunyai strategi pemasaran yang berkesan, kita mampu untuk menarik perhatian pengguna yang berminat dengan perniagaan kita.
Bagi mereka yang sudah biasa menggunakan Facebook pasti sudah boleh membezakan antara strategi pemasaran dan pengiklanan di Facebook. Strategi pemasaran lebih menjurus kepada membina rangkaian dan hubungan yang berkekalan, serta penglibatan berterusan melalui kandungan yang bukan terhad kepada jualan sahaja. Strategi pemasaran Facebook yang jelas dan berasaskan matlamat perniagaan akan membantu anda membina jenama anda di Facebook selaras dengan keperibadian dan nilai jenama anda.
Strategi pemasaran yang betul pasti akan berjaya menjana lebih banyak sukaan untuk perniagaan anda di Facebook.
2. Jadikan halaman Facebook anda lebih menarik
Perkara ini mungkin dianggap terlalu asas, tetapi merupakan unsur paling penting yang sering diabaikan. Jika anda ingin mengumpul sukaan, halaman Facebook anda harus tampak hebat dan menarik perhatian. Halaman Facebook anda mempunyai banyak bahagian, dan amat penting untuk memastikan bahagian-bahagian ini lengkap dan kelihatan profesional, sesuai dengan imej jenama anda.
Untuk memastikan halaman Facebook anda mudah dicari oleh pengguna, halaman perihal atau lebih dikenali sebagai ‘About Us’ seelok-eloknya dilengkapi dengan maklumat hubungan. Pada halaman ini juga anda boleh menyebut tarikh perniagaan diasaskan, memerihalkan sedikit sebanyak mengenai keseluruhan perniagaan, atau menyenaraikan pencapaian jenama anda.
Selain daripada itu, halaman Facebook perniagaan anda haruslah dilengkapi dengan foto dan gambar profil menarik yang serba sedikit memberi gambaran tentang perniagaan anda. Seterusnya, anda juga boleh ‘pin’ posting yang paling banyak mengumpul sukaan ke halaman utama Facebook perniagaan anda.
3. Pastikan halaman Facebook anda mudah dicari
Bayangkan anda mencari sesuatu perniagaan yang anda minati tetapi anda tidak menemui halaman Facebook perniagaan itu. Pernahkah anda lalui masalah seperti ini? Situasi seperti ini mungkin terjadi kerana perniagaan tersebut tidak menggunakan nama unik yang mudah untuk dicari.
Apabila mengendalikan halaman perniagaan di Facebook, kita harus ingat bahawa pengguna tidak boleh menyukai halaman Facebook tidak dapat mereka temui. Untuk memastikan halaman Facebook anda mudah dicari, pilihlah nama halaman yang unik, kerana pengguna yang mencari perniagaan anda di Facebook akan mencari namanya. Nama yang unik akan memudahkan pengguna untuk mencari perniagaan anda, di samping mengelakkan kekeliruan.
4. Berinteraksi dengan jenama dan komuniti lain di Facebook
Apabila menggunakan Facebook, anda haruslah ingat bahawa Facebook pada asasnya adalah sebuah rangkaian sosial. Oleh itu, perniagaan anda juga haruslah bersifat ‘sosial’ dan mewujudkan hubungan dengan jenama lain yang ada kaitan dengan jenama anda, tetapi bukan yang merupakan pesaing langsung.
Sekadar suka atau komen pada pos jenama lain boleh membantu menarik perhatian pengguna, atau membuka peluang untuk bekerja sama dengan perniagaan lain untuk mempromosikan perniagaan anda. Seterusnya, kedua-duanya mungkin akan mendapat lebih banyak sukaan di halaman Facebook masing-masing.
Anda juga boleh mencari komuniti pengikut yang berpotensi untuk mengikuti Facebook anda. Kumpulan Facebook adalah tempat yang hebat untuk mencari orang yang bersemangat tentang subjek yang berkaitan dengan jenama anda, dan menawarkan anda peluang untuk menyerlahkan kepakaran anda. Cuma, perlu pastikan penyertaan anda dalam kumpulan Facebook itu membawa manfaat, bukan sekadar mempromosi diri sahaja. Sekiranya demikian, anda mungkin mendapati diri anda dikeluarkan daripada kumpulan itu.
5. Jalankan iklan Facebook untuk mengembangkan jangkauan anda
Facebook menawarkan pengiklanan yang sangat terperinci. Anda boleh menentukan fokus iklan anda, di samping mengoptimumkan perbelanjaan iklan anda. Menarik perhatian pengguna kepada perniagaan atau jenama anda dengan menonjolkan diri merupakan cara terbaik untuk mendapat lebih banyak sukaan di Facebook
Dengan menggunakan ‘post boost’ bagi posting anda, boleh menarik perhatian pengguna terutamanya yang belum lagi menyukai halaman anda. Cara ini mungkin merupakan cara hebat untuk post yang sudah terbukti menarik dengan sejumlah besar sukaan Facebook daripada orang yang sudah lama mengikuti halaman Facebook perniagaan anda.
6. Gunakan algoritma Facebook secara berfaedah
Memahami algoritma Facebook ialah kunci untuk meningkatkan jangkauan perniagaan anda sebagai cara menyampaikan halaman dan semua posting anda kepada khalayak yang besar, seterusnya menyediakan peluang untuk anda mengumpul sukaan yang lebih banyak. Pada asasnya, algoritma Facebook mengutamakan isi kandungan yang ingin dilihat pengguna, iaitu kandungan berkualiti tanpa terlalu banyak promosi.
Misalnya, algoritma Facebook mengutamakan video langsung dalam suapan beritanya. Oleh itu, satu cara untuk memanfaatkan algoritma Facebook ialah dengan menggunakan video langsung. Sekiranya anda mengadakan acara atau persembahan secara langsung, cubalah teknik ini untuk menjana lebih banyak sukaan untuk Facebook anda.
7. Siarkan kandungan berkualiti tinggi yang berkaitan
Facebook mengesyorkan anda berkongsi gambar ringkas, siaran yang menyeronokkan untuk dibaca, serta imej menarik untuk mendapatkan perhatian. Gunakan strategi ini untuk menaikkan siaran yang akan menarik perhatian pengguna untuk menyukai halaman perniagaan anda.
Selain itu, jika sebahagian besar komen pada halaman anda ialah pertanyaan perkhidmatan pelanggan, cubalah untuk memuatkan kandungan yang membantu penggunaan produk anda dengan lebih baik. Sebagai contoh, cuba muat naik siri foto atau video pendek yang memaparkan cara alternatif untuk menggunakan produk anda, atau menerangkan cara betul untuk melakukan sesuatu menggunakan produk anda. Ini akan meningkatkan minat terhadap halaman Facebook anda, seterusnya membantu anda mengumpul lebih banyak sukaan.
Saya masih amat tidak mahir
Terima kasih kerana melayari Usahawan Nasional Webzine.
Ulasan dan sokongan anda amat dihargai.
Kami mencadangkan agar cik/puan mengikuti latihan atau kursus dianjurkan oleh mana-mana pihak yang menawarkan topik berkaitan media sosial.
Kami berharap dengan maklumat yang dikongsi akan membantu serta menjana beberapa idea untuk perniagaan.
Untuk makluman anda, Usahawan Nasional Webzine dimiliki oleh Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB).
Layari juga artikel-artikel lain dan kongsikan bersama kenalan anda!
Terima kasih.