Sebagaimana kita sedia maklum, bencana alam seperti tanah runtuh, banjir kilat, taufan dan banjir berlaku di luar jangkaan kita. Sebagai contoh, saban tahun apabila tibanya musim tengkujuh, sebahagian kawasan di negara kita seringkali dilanda banjir, lebih-lebih lagi bagi penduduk di Pantai Timur yang terpaksa menghadapi bencana banjir ini ekoran Monsun Timur Laut. Dalam situasi ini, para usahawan juga tidak terkecuali berdepan bencana banjir di mana ia memberi kesan buruk kepada perkembangan perniagaan.
Daripada bencana alam yang sering berlaku ini, maka benarlah seperti kata pepatah, sediakan payung sebelum hujan. Kesiapsiagaan dalam menghadapi musim bencana ini harus sentiasa ditingkatkan oleh para usahawan agar tidak berlaku perkara yang tidak diingini seperti menghadapi jumlah kerugian yang besar. Jom, ikuti perkongsian para usahawan dalam persediaan perniagaan menghadapi musim bencana!
“Sejak dari awal penubuhan, pihak syarikat memandang serius mengenai penyediaan dana khas khusus untuk pengurusan bencana dengan melakukan pelbagai inisiatif termasuk pemberian bantuan secara langsung. Selain daripada itu, dana tersebut juga boleh digunakan sebagai kegunaan kecemasan untuk membayar gaji pekerja jika perniagaan tidak dapat beroperasi sepanjang tempoh bencana.
Malah kami juga menyeru para usahawan untuk lebih fokus dalam meningkatkan pemasaran dengan menjual stok-stok lama yang masih boleh digunakan sebagai ganti rugi kos yang digunakan semasa bencana berlaku. Selain itu, para usahawan juga perlu memiliki sikap saling membantu dalam diri setiap pekerja dengan mewujudkan dana kecemasan.
Dana kecemasan ini adalah wang tunai yang digunakan sebagai persediaan untuk para usahawan menghulurkan bantuan kepada para pekerja lain selain menawarkan sokongan motivasi dengan berkongsi matlamat simpanan dana tersebut.”
NURUL IRMAZIEHAN BINTI ZULKUFLI
ALIA OPTOMETRIS
“Syukur, alhamdulillah apabila tahun lepas kesemua cawangan FS Optical yang terletak di Pantai Timur tidak terlibat dalam bencana banjir. Cuma ada beberapa cawangan yang perlu ditutup disebabkan terdapat beberapa rumah pekerja yang dimasuki air. Sebagai majikan, pihak syarikat amat prihatin mengenai perkara ini dan sering menasihati para pekerja yang tinggal di kawasan rendah untuk berpindah lebih awal agar perkara yang tidak diingini dapat dielakkan.
Bagi situasi sebegini, pihak syarikat bersepakat mengadakan promosi istimewa cermin mata bagi meringankan beban mangsa banjir yang mengalami masalah penglihatan. Selain itu, pihak syarikat juga turut merangka pelan komunikasi dengan para pekerja untuk memastikan kesemua pekerja yang terlibat dengan bencana dapat mengemas kini keadaan terkini mereka. Ini kerana pihak syarikat bertanggungjawab untuk melindungi pekerja!”
FAZRIL AKMAL BIN AZALI
FS OPTICAL SHOP
Oleh yang demikian, apakah langkah terbaik yang perlu diambil bagi mengelakkan masalah bencana banjir ini? Sebagai contoh, masalah bencana banjir ini boleh dielakkan dengan meningkatkan usaha pemuliharaan atau penanaman semula hutan di kawasan yang terjejas.
Jika tiada sebarang usaha atau tindakan yang diambil, tidak mustahil bencana banjir yang lebih serius serta luar jangkaan akan melanda negara di masa akan datang sepertimana banjir besar yang berlaku pada beberapa negeri pada tahun sebelumnya. Selain itu, pihak tertentu harus memiliki pelan pemulihan bagi menganalisis bencana yang bakal dihadapi dan cara untuk melindungi sebarang aset yang tidak boleh dipulihkan.